Hari Terbuka C3L wujudkan peluang pembelajaran fleksibel, bermakna



Siaran Akhbar dan Foto : Universiti Brunei Darussalam






BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 1 April. - Hari Terbuka Pusat Pembelajaran Sepanjang Hayat (C3L) dan Festival Pembelajaran Sepanjang Hayat 2026 telah diadakan baru-baru ini, bertempat di Bangunan Institut Kepimpinan, Inovasi dan Kemajuan (ILIA), Universiti Brunei Darussalam (UBD).


Acara berkenaan dimulakan dengan Majlis Perasmian yang menampilkan ucapan daripada Pengarah C3L, Profesor Madya Dr. Jose Hernandez Santos yang antara lain menyatakan bahawa acara berkenaan telah menyatukan para pendidik, pembuat dasar, rakan industri dan para pelajar yang berkongsi kepercayaan bahawa pembelajaran tidak terhenti selepas tamat pengajian, sebaliknya berterusan sepanjang hayat.


Di C3L jelasnya, misi kami adalah untuk menyokong perjalanan ini dengan mewujudkan peluang pembelajaran yang fleksibel dan bermakna untuk individu pada peringkat kerjaya yang berbeza.


Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Naib Canselor UBD, Dr. Hazri bin Haji Kifle, yang turut berkongsi bahawa pembelajaran sepanjang hayat kini diiktiraf sebagai penting untuk daya tahan ekonomi dan pembangunan negara.


Jelasnya, di Negara Brunei Darussalam, visi berkenaan termaktub dalam Wawasan Brunei 2035 dan seterusnya menekankan keperluan melahirkan masyarakat yang berpendidikan tinggi, berkemahiran dan mudah menyesuaikan diri.


Selepas Majlis Perasmian, Dr. Hazri menyampaikan Best-Micro Credential Awards untuk kategori baharu dan sedia ada.


Bagi Best-Micro Credential Awards, bagi penyertaan baharu, tempat pertama disandang oleh Dr. Roslinawati binti Roslan, Institut Pendidikan Sultan Hassanal Bolkiah (SHBIE) dengan tajuk 'Introduction to Sustainability: Small Actions, Big Impact'.


Manakala tempat kedua diberikan kepada Michelle Poh Wan Pei, dari Pusat Bahasa dengan tajuk 'Mastering APA 7 in Style', sementara tempat ketiga pula dimenangi oleh Dr. Mohamed Syazwan Ab Talib, dari Sekolah Perniagaan dan Ekonomi UBD (UBDSBE) dengan tajuk 'Project Management for Entrepreneurs'.


Bagi pemenang keempat pula disandang oleh Dr. Zaidah Rizidah Murang, dari Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa'adatul Bolkiah (PAPRSB IHS), dengan tajuk 'Mastering Systematic Reviews for Strategic Decisions'.


Bagi Kategori Sedia Ada pula, tempat pertama disandang oleh Dayangku Ratna Suriani binti Pengiran Haji Osman, dari SHBIE dengan tajuk 'Autonomy, Voice, and Inclusive Pedagogy'.


Manakala tempat kedua dimenangi oleh Dr. Nurul Afiqah binti Haji Nor Amin, dari UBDSBE dengan tajuk 'Mastering Qualitative Insights for Business'; sementara tempat ketiga pula diraih oleh Dr. Noreena Liu, dari Fakulti Sastera dan Sains Sosial (FASS) dengan tajuk 'Introduction to Board Game Design'.


Sementara itu, Dr. Hazri berkata di UBD, perjalanan kami dalam pembangunan mikro-kredensi bermula dengan niat yang jelas untuk menjadikan pembelajaran lebih mudah diakses, bermakna dan berorientasikan masa depan.


Menurutnya lagi, sejak 2022, kami telah membina portfolio 'micro-credential' yang semakin berkembang yang direka untuk menyokong pembangunan profesional dan keperluan industri. Ia bukanlah tawaran yang berdiri sendiri, sebaliknya ia disusun sebagai laluan pembelajaran berperingkat yang membolehkan kemajuan ke arah kelayakan yang diiktiraf pada pelbagai peringkat, termasuk pengiktirafan Micro-Bachelor, Bachelor, Micro-Master, dan Master degree.


"Sejak 2024, melalui inisiatif yang diketuai oleh C3L dan Pusat Inovasi dalam Pengajaran dan Pembelajaran (InTELECT), lebih daripada 200 ahli akademik dari UBD dan institusi pengajian tinggi lain di seluruh NBD telah menyertai latihan khusus mengenai reka bentuk, penyampaian dan penilaian 'micro-credential'.


"Ini bukan sekadar pembinaan kapasiti dalam satu universiti, tetapi ia merupakan sumbangan kepada pengukuhan ekosistem negara untuk pembelajaran sepanjang hayat," ujarnya lagi.


Tumpuan utama ialah Pengiktirafan Pembelajaran Terdahulu (Recognition of Prior Learning-RPL), yang dibincangkan melalui ucaptama oleh Dr. Asnul Dahar Minghat serta forum panel. Panel berkenaan menampilkan pakar-pakar terkemuka termasuk Profesor Madya Dr. Asnul Dahar Minghat dari Universiti Teknologi Malaysia, Dr. Shaikh Khalid Shaikh Haji Ahmad dari Kumpulan Syarikat Serikandi, dan Awang Haji Mohammad Jaafar bin Haji Johari dari C3L, Kementerian Pendidikan, dengan sesi dikendalikan oleh Timbalan Pengarah C3L, Dr. Anni @ Nik Ani Afiqah binti Haji Mohamad Tuah.


RPL menyediakan pendekatan yang berstruktur dan boleh dipercayai untuk mengiktiraf kecekapan yang dibangunkan melalui pengalaman profesional, latihan tidak formal dan pembelajaran tidak formal. Melalui RPL, pelajar dewasa boleh memasuki program akademik melalui laluan pembelajaran sepanjang hayat atau menerima kredit modular untuk modul atau 'micro-credentials' terpilih berdasarkan kecekapan yang ditunjukkan.


Secara keseluruhannya, 'micro-credentials' dan RPL mewakili evolusi dalam pendidikan tinggi, mengiktiraf pencapaian akademik dan kedalaman pembelajaran yang diperoleh melalui pengalaman dunia sebenar.


Sepanjang hari, para hadirin telah berinteraksi dengan pelbagai pempamer termasuk Openlearning, Brunei Institute of Leadership & Islamic Finance (BILIF), dan Pusat Pekerjaan Brunei. Bengkel praktikal turut diadakan yang merangkumi 'Integration of AI in Digital Pedagogy' oleh Profesor Madya Dr. Mohammad Tazli Azizan dari C3L, 'Practical Workplace Hazard Identification & Risk Assessment' oleh Dayang Wardatul Zahrah dari Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan, serta 'Stress Less, Live More!' oleh wakil dari AC-ACE Creative Training Services.

Close